Bangkok menjadi destinasi percutian pilihan untuk golongan muda di seluruh dunia.
LONDON: Bangkok dinobatkan sebagai bandar terbaik dunia untuk generasi muda oleh majalah pelancongan antarabangsa terkenal, Time Out, mengatasi Cape Town yang sebelum ini menduduki tangga teratas dalam senarai pelbagai generasi awal tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, penarafan terbaharu itu dibuat berdasarkan tinjauan khas membabitkan penduduk bandar berusia bawah 30 tahun, merangkumi Generasi Z iaitu dari umur 13 sehingga 28 tahun dan golongan milenial muda, sekali gus menghasilkan kedudukan yang berbeza berbanding senarai umum.
Bangkok meraih kedudukan pertama kerana dinilai tinggi dari aspek kebahagiaan, kos sara hidup yang berpatutan serta peluang berkenalan dengan rakan baharu malah, penduduk mudanya paling ramai menyifatkan bandar itu sebagai lokasi terbaik untuk membina persahabatan.
“Bangkok memenuhi semua ciri sebuah bandar hebat dengan penduduknya ramah, kaya dengan budaya dan mempunyai mercu tanda ikonik seperti Wat Arun serta Istana Diraja,” jelas Time Out.
Melbourne berada di kedudukan kedua, naik dua tangga berbanding senarai umum, dengan hampir 80 peratus anak muda memuji kepelbagaian serta keterangkuman bandar itu.
Sebanyak 96 peratus pula memuji kehebatan seni dan budaya di sana, manakala lebih 90 peratus menganggap kualiti hidup di bandar itu baik atau mengagumkan.
Cape Town, yang menduduki tempat pertama dalam penarafan awal tahun, berada di kedudukan ketiga dalam kalangan generasi muda, dengan skor tinggi dari segi keindahan alam semula jadi termasuk pemandangan Gunung Table yang memukau, selain kos hiburan malam yang murah.
New York berada di tangga keempat dengan reputasi sebagai bandar paling ‘mengujakan’ dalam kalangan penduduk muda, manakala Copenhagen melonjak ke tangga kelima daripada tangga kesepuluh dalam senarai umum, antara lain kerana lebih separuh anak muda di sana menganggapnya mudah untuk mencari pasangan hidup.
Barcelona di tangga keenam, terikat bersama Melbourne bagi aspek kepelbagaian dan keterangkuman tertinggi, diikuti Edinburgh (ketujuh) yang terkenal dengan taman hijau, Mexico City (kelapan), London (kesembilan) dan Shanghai ke-10.
































