Tun Musa, Abang Johari, Shahelmey, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif bersama peserta dan tetamu pada Majlis Perasmian Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa.
KOTA KINABALU: Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa bakal memainkan peranan penting dalam membentuk pemimpin muda sebagai agen perubahan yang akan mencorakkan masa depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Dunia memerlukan idea, tenaga dan visi anda. Cabaran yang dihadapi masyarakat kita menuntut perspektif baharu serta tindakan berani, dan saya yakin setiap daripada anda membawa kekuatan serta pandangan unik yang akan menyumbang kepada perbincangan sepanjang beberapa hari ini,” katanya pada Majlis Perasmian Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr.) Musa Aman merasmikan pembukaan program tersebut.
Hajiji berkata, adalah penting memastikan golongan belia terus bangkit menghadapi cabaran kepimpinan dengan mengiktiraf serta memupuk potensi mereka.
“Menggalakkan belia untuk terlibat secara aktif dalam inisiatif kemasyarakatan dan latihan kepimpinan amat penting bagi melahirkan generasi baharu yang bersedia menangani kerumitan dunia moden.”
Program yang melibatkan pemimpin belia dari 12 negara Asia Tenggara dan Pasifik itu dianjurkan oleh Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) dengan kerjasama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta beberapa jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan selain NGO di Sabah.
“Saya berharap latihan kepimpinan ini dapat meningkatkan kemahiran anda, memupuk kerjasama, serta membuka peluang untuk anda terlibat dalam perbincangan bermakna dan saling belajar daripada pengalaman masing-masing.
“Ingatlah, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan berautoriti; ia mengenai pengaruh, tanggungjawab dan khidmat kepada orang lain, keluar daripada zon selesa, terima idea baharu dan berinteraksi secara aktif dengan rakan sebaya.
“Binalah rangkaian dan kongsi kisah anda. Mulakan perjalanan ini dengan semangat pembelajaran, pertumbuhan dan inspirasi. Sekali lagi, selamat datang, dan jadikanlah latihan ini sebagai pengalaman benar-benar transformasi,” katanya.
Ketua Menteri yakin dengan latihan serta bimbingan yang diberikan RISEAP, para peserta akan muncul sebagai sumber manusia berkemampuan dan berkebolehan, seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Malaysia Madani serta sejajar dengan keperluan pembangunan modal insan di bawah agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Saya percaya para mentor yang disediakan oleh RISEAP dalam penganjuran latihan ini mampu mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada RISEAP di bawah pimpinan Premier Sarawak, Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg kerana memilih Sabah sebagai tuan rumah bagi Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa.


































