TUMPAT: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kedai dobi layan diri di Pasir Pekan di sini, Selasa lalu yang videonya tular dalam media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video kejadian pergaduhan tersebut kira-kira pukul 5.14 petang.
“Rakaman berdurasi 32 saat itu memaparkan kejadian pertengkaran mulut melibatkan dua orang lelaki dipercayai berumur awal 20-an hingga berlaku kejadian pergelutan antara kedua-dua lelaki tersebut. Kejadian tersebut juga turut disaksikan oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa atau mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan susulan kejadian itu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat membuka satu kertas siasatan bersabit kejadian ini yang disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya.






























