TAIPEI: Sebahagian wilayah di selatan dan timur Taiwan lumpuh apabila ribuan penduduk dipindahkan dan ratusan penerbangan dibatalkan selepas Taufan Podul diramal membadai kawasan itu petang ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pengangkutan memaklumkan kesemua 252 penerbangan domestik dibatalkan dengan 129 penerbangan antarabangsa turut terjejas.
Syarikat penerbangan utama, China Airlines dan EVA Air memaklumkan pembatalan tertumpu pada laluan dari Kaohsiung, selain beberapa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.
Taiwan yang sering menjadi laluan taufan, khususnya di kawasan pantai timur menghadap Lautan Pasifik, berdepan ribut sederhana itu yang membawa kelajuan angin sehingga 191 kilometer sejam (km/j).
Taufan berkenaan dijangka melanda bandar Taitung di tenggara pulau tersebut sebelum bergerak merentasi kawasan lain.
Menurut Jabatan Kaji Cuaca, amaran mesej ringkas dihantar kepada pengguna telefon di beberapa kawasan Taitung awal pagi tadi yang menggesa penduduk segera mencari perlindungan kerana dijangka berdepan tiupan angin kencang melebihi 150 km/j.
Sebanyak sembilan bandar dan daerah, termasuk metropolis Kaohsiung dan Tainan di selatan mengumumkan penutupan sekolah serta tempat kerja hari ini.
Bagaimanapun, aktiviti di Taipei yang menempatkan pusat kewangan negara itu tidak terjejas.
Pihak berkuasa turut memindahkan lebih 5,500 penduduk, termasuk mereka yang masih terkesan akibat taufan bulan lalu yang mencatatkan kelajuan angin tertinggi dan merosakkan bekalan elektrik di pantai barat pulau itu.
Pentadbiran Cuaca Pusat meramalkan hujan setinggi 600 milimeter di kawasan pergunungan selatan Taiwan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Bulan ini sahaja, beberapa kawasan di selatan Taiwan menerima jumlah hujan melebihi setahun dalam tempoh seminggu, menyebabkan tanah runtuh, banjir besar dan meragut empat nyawa.
































