Zara Qairina Mahathir
KUALA LUMPUR: Fokus siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina Mahathir akan dijalankan dalam dua bentuk iaitu inkues bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan jenayah menjurus kepada perbuatan buli.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua siasatan akan dilakukan secara menyeluruh mengikut prosedur undang-undang.
Katanya, inkues akan memberi tumpuan kepada semua bukti dan maklumat berkaitan bagi menentukan punca kematian.
Beliau berkata, perkara itu dilakukan bagi menjawab persoalan semua pihak berkenaan apa yang menyebabkan kejadian itu berlaku.
“Sebab itu kita ada dua hala tuju siasatan, satu siasatan daripada sudut inkues. Kertas siasatan pun sudah dua kali dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kita telah mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil dan segala maklumat akan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Siasatan jenayah pula akan memfokuskan kepada aspek perbuatan buli,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kumar berkata, polis membuka 15 kertas siasatan berkaitan berita tidak sahih termasuk dakwaan Zara Qairina dibuli menggunakan mesin basuh.
“Di sini pihak polis akan menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia,” katanya.
Katanya, susulan itu, seorang wanita berusia 39 tahun ditahan untuk siasatan di Rawang, Selangor pada minggu lalu.
“Kes masih dalam proses siasatan. Wanita itu juga telah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik ditahan. Kita juga sudah membuka 15 kertas siasatan terhadap macam-macam berita yang tidak sahih dikeluarkan,” katanya.
































