PETALING JAYA: Leftenan kolonel dan kapten antara lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mendalangi sindiket penyeludupan dadah, rokok serta barang-barang lain.
Menurut Utusan Malaysia, sumber mendedahkan, kesemua mereka bertugas di Bahagian Perisikan ATM.
“Setakat ini, kesemua mereka ditahan terdiri daripada pegawai kanan berpangkat leftenan kolonel dan kapten,” dedahnya.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar memaklumkan sedia bekerjasama dengan SPRM.
Beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, sindiket penyeludupan dadah, rokok serta barang-barang lain yang didalangi oleh pegawai-pegawai kanan ATM terbongkar, selepas sepuluh individu termasuk lima pegawai kanan tentera ditahan SPRM.
Penahanan kesemua individu termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun dilakukan di sekitar Lembah Klang sejak operasi Op Sohor dilancarkan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Sindiket yang beroperasi di selatan tanah air itu dianggotai pegawai-pegawai kanan Bahagian Perisikan ATM termasuk dua bekas anggota daripada bahagian yang sama.
Menurut sumber, mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.































