KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag hari ini bertemu dengan ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat di Sri Gaya bagi menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam. (Gambar)
Pertemuan itu turut dihadiri oleh ahli-ahli MUTIARA GRS.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang amat mendalam kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina. Kita berdoa agar keluarga diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini,” kata Hajiji.
Beliau berkata, sebagai langkah awal dan bukti bahawa Kerajaan Negeri prihatin terhadap isu ini, beliau telah mengarahkan Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio pendidikan Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar untuk menziarahi Allahyarhamah Zara Qairina semasa beliau masih menerima rawatan di hospital.
Hajiji berkata, gelombang solidariti #JusticeforZara yang digerakkan oleh netizen menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina adalah satu tindakan yang wajar dipuji, namun orang ramai perlu mengelak daripada membuat spekulasi tidak berasas.
“Kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” tambahnya.

Sementara itu, Juliah menyatakan beliau memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang.
“Keselamatan anak-anak, khususnya pelajar sekolah berasrama, mesti diberi keutamaan bagi mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang,” katanya.
Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asramanya, satu kejadian mengejutkan yang mencetuskan desakan supaya langkah keselamatan pelajar diperketatkan.
































