Lim Hui Ying
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,194 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam direkodkan bagi tempoh 2020 hingga Jun 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, rekod tersebut berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, di mana jumlah tersebut mewakili kira-kira 0.3 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam di negara ini.
“Walaupun peratusannya kecil, pihak kerajaan memandang serius isu tersebut kerana ia memberi kesan kepada kestabilan kewangan individu serta prestasi perkhidmatan awam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang meminta kementerian menyatakan langkah kerajaan terhadap trend peningkatan hutang isi rumah yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Hui Ying berkata, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menyediakan pelbagai khidmat nasihat kewangan dan program penstrukturan semula pembiayaan bagi membantu individu yang berdepan masalah hutang.
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut melaksanakan program transformasi minda untuk pegawai baharu, antara lain memberi pendedahan awal tentang pengurusan kewangan peribadi secara berhemah.
“Langkah-langkah ini diharap dapat mengurangkan risiko keberhutangan serius dalam kalangan penjawat awam, sekali gus memastikan mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada tugas dan tanggungjawab perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying berkata, hutang isi rumah negara kekal terkawal walaupun berjumlah RM1.65 trilion setakat Mac 2025, bersamaan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, kedudukan hutang isi rumah perlu dilihat secara holistik dengan mengambil kira jumlah aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar, iaitu RM3.45 trilion pada tempoh sama.































