Yahaya Othman (dua dari kiri) menunjukkan cip yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kuantan, Pahang.
KUANTAN: Polis memperoleh 200 keping cip tunai kasino bernilai RM2 juta yang dilarikan daripada sebuah premis di Genting Highlands, Bentong dekat sini pada 2 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, cip berkenaan diperoleh selepas seorang kakitangan syarikat junket hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan memaklumkan membelinya daripada suspek pada hari kejadian.
“Hasil maklumat dan kerjasama media, seorang daripada pembeli tampil pada 8 Ogos lalu. Dia mengaku menerima atau membeli cip bernilai RM2 juta ini, iaitu 200 keping. Setiap satu cip bernilai RM10,000 dan kini ia dijadikan bahan bukti,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.
Yahaya berkata, lelaki berusia 30-an itu memberi pinjaman wang tunai RM2 juta kepada suspek, berusia 44 tahun melalui dua pekerjanya.
“Cip kasino itu dijadikan cagaran dengan urusan dilakukan secara serahan tangan di lobi sebuah hotel di Genting Highlands tanpa sebarang perjanjian bertulis,” katanya.
Menurut beliau, polis giat mengesan suspek yang dipercayai masih memiliki baki 100 keping cip bernilai RM1 juta dan wang tunai RM2 juta.
“Suspek disyaki masih berada di luar negara dan sudah berada dalam senarai dikehendaki. Jika perlu, polis memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan dan menahan suspek,” katanya.


































