Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Guru yang didapati menghisap rokok atau rokok elektronik (vape) di kawasan sekolah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang menggunakan vape khususnya secara terbuka atau di hadapan murid kerana ia melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan sahsiah.
“Perbuatan ini bukan sahaja mencemar imej profesion perguruan, malah memberi contoh negatif kepada murid. KPM memandang serius isu ini dan akan bertindak tegas,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) mengenai langkah KPM membendung penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah, susulan dakwaan terdapat segelintir guru yang turut menggunakannya secara terbuka.
Menurut Fadhlina, KPM sedang meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan larangan merokok termasuk semua jenis rokok, peralatan elektronik dan cecair vape selaras dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 atau Akta 852 yang diwartakan pada 1 Oktober lalu.
Menurut beliau, larangan itu juga meliputi penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun serta penguatkuasaan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari sempadan atau pagar luar sekolah.
“KPM juga telah mengambil langkah proaktif membendung penggunaan rokok dan vape di sekolah termasuk menguatkuasakan Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan vape di sekolah serta Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5 Tahun 1997 yang menjadikan sekolah sebagai kawasan larangan merokok.
“Oleh itu masyarakat, pihak berkuasa tempatan(PBT), ibu bapa dan penjaga perlu bekerjasama memantau penjualan serta pembelian vape oleh murid, selain mengawasi perubahan tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dalam ketagihan,” ujarnya.


































