Polis memeriksa lokasi penemuan satu mayat wanita di sebuah lokasi memancing terkenal di Phang Nga, Thailand.
PHANG NGA: Penduduk tempatan dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita yang diikat dengan rantai besi dan dua dumbel di sebuah lokasi memancing popular di Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu berlaku pada Jumaat berhampiran jeti Ban Tha Yai, apabila penduduk melihat tubuh mangsa timbul di permukaan air.
Mereka segera memaklumkan kepada polis yang bergegas ke lokasi bersama pasukan penyelamat.
Identiti, kewarganegaraan dan alamat mangsa masih belum dikenal pasti sementara siasatan kes pembunuhan dijalankan.
Menurut laporan tempatan, mangsa dipercayai memakai seluar pendek kelabu dan kemeja-T coklat berkolar bulat. Polis menganggarkan wanita itu sudah meninggal dunia kira-kira dua hari sebelum mayatnya timbul dari air keruh.
Satu daripada butiran paling mengejutkan adalah rantai berat yang dililit ketat di leher mangsa disambungkan kepada dua dumbel dipercayai bertujuan menenggelamkan dan menyembunyikan mayatnya di dasar air.
Bagaimanapun, tubuh mangsa akhirnya timbul dan hanyut ke tepi pantai, sebelum ditemukan oleh penduduk.
Polis menghantar mayat untuk bedah siasat penuh bagi menentukan punca kematian dan sama ada mangsa masih hidup ketika dibuang ke dalam air.
Rakaman CCTV di jeti dan kawasan perairan berhampiran sedang diteliti manakala pihak berkuasa tempatan diminta menyemak laporan orang hilang yang sepadan dengan ciri mangsa.


































