Dr. Zambry Abd Kadir
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merekodkan sebanyak 31 kes buli dalam tempoh 11 tahun, sejak 2014 hingga 2025 di universiti awam (UA).
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kes yang dilaporkan termasuk dalam bentuk buli fizikal dan buli siber yang berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurangnya pengawasan ibu bapa.
Dalam konteks UA, katanya, sekiranya pelajar terbabit dalam kes buli, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(A)(2), Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang telah diseragamkan melalui pindaan pada 2024.
“Pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan buli di bawah kaedah-kaedah ini boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman bersesuaian.
“Pertama, amaran. Kedua, khidmat masyarakat mengikut peraturan-peraturan yang dibuat oleh lembaga yang tidak melebihi 24 jam. Ketiga, denda tidak melebihi RM500.
“Keempat, pelaku dilarang berada dalam mana-mana bahagian kampus dalam satu tempoh yang ditentukan oleh pihak berkuasa tatatertib dan akhirnya dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam desa siswa dan digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi satu tempoh serta akhir sekali dibuang universiti,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden [PN-Alor Setar] mengenai langkah yang diambil oleh kementerian bagi mengekang kejadian buli di universiti awam dan swasta.
Bagi mengatasi gejala buli, Zambry berkata, kementerian sentiasa meneliti kaedah dan amalan terbaik serta mengkaji semula dasar sedia ada untuk menambah baik prosedur serta mekanisme bersesuaian.
“Pertama, penerapan budaya Zero Tolerance (toleransi sifar) terhadap buli. Kedua, mekanisme sistem pelaporan kes buli. Ketiga, penambahbaikan sistem keselamatan kampus melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih meluas.
“Keempat, pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan buli. Kelima, penekanan terhadap pembinaan sahsiah, etika dan latihan kepemimpinan bagi menyokong kemenjadian mahasiswa yang lebih bersifat positif. Keenam, prosedur operasi standard (SOP) dan pembangunan garis panduan pengurusan salah laku buli,” katanya.


































