Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa pentadbiran Warisan pada tahun 2019 berjaya membayar balik hutang RM1 bilion hasil pengurusan kewangan sendiri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Masidi berkata, bayaran balik Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014-2019) adalah hasil daripada perancangan kewangan berhemah oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu, dan bukannya inisiatif khas oleh kerajaan Warisan.
“Bon itu dikeluarkan pada Disember 2014 semasa pentadbiran BN. Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarat supaya diwujudkan satu Tabung Amanah Khas, iaitu Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon, bagi memastikan bayaran balik penuh apabila bon tersebut matang,” jelasnya.
Di bawah terma bon itu, Kerajaan Negeri diwajibkan memasukkan RM200 juta setiap tahun ke dalam Tabung Amanah berkenaan selama lima tahun, dari 2014 hingga 2019.
Masidi berkata, menjelang Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018, sebahagian besar dana bagi bayaran balik telah pun tersedia.
“Pada tahun 2019, terdapat RM1 bilion dalam Tabung Amanah tersebut, membolehkan bayaran penuh dibuat sekali gus bagi melangsaikan bon berkenaan. Ini bukan hasil daripada dasar baharu oleh kerajaan Warisan, sebaliknya merupakan hasil perancangan kewangan terdahulu yang teliti oleh pentadbiran sebelum ini,” katanya.
Masidi menegaskan adalah tidak tepat untuk Mohd. Shafie menggambarkan bayaran balik itu sebagai bukti keupayaan pengurusan kewangan kerajaan Warisan, sambil mengingatkan bahawa beliau telah menjelaskan perkara yang sama dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Julai 2024.
“Pentadbiran sekarang komited untuk memberikan maklumat yang jelas dan tepat kepada rakyat mengenai kewangan negeri, dan tidak akan membiarkan kenyataan yang mengelirukan dibiarkan tanpa penjelasan,” tegasnya.
Mohd Shafie berulang-kali mendakwa pada 2019 pentadbirannya berjaya melunaskan RM1 bilion hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu. Dakwaan beliau itu kononnya untuk menunjukkan bahawa pentadbirannya adalah pengurus kewangan kerajaan yang baik.


































