BEIJING: Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan 33 lagi hilang selepas banjir kilat melanda wilayah Gansu di barat laut China, lapor media rasmi negara itu pada Jumaat.
Menurut Utusan Malaysia, stesen penyiaran negara CCTV melaporkan, hujan lebat yang berterusan sejak 7 Ogos mencetuskan banjir kilat di kawasan terjejas.
“Sehingga jam 3:30 petang (waktu tempatan) pada 8 Ogos, 10 orang disahkan maut manakala 33 lagi masih hilang,” lapor stesen itu.
Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan semua agensi penyelamat supaya memberi “usaha maksimum” dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.
Jinping turut menegaskan keperluan untuk mengatasi sikap leka dan mempertingkatkan pemantauan serta pengurusan risiko, berikutan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku, menurut CCTV.
Rakaman yang dikongsi pihak berkuasa bomba China di platform Weibo menunjukkan pasukan penyelamat membantu penduduk meredah arus air banjir berwarna kelabu di sebuah kampung. Manakala gambar-gambar yang dimuat naik kerajaan Gansu memaparkan jalan raya yang dilitupi lumpur tebal dan batu besar.
China sering dilanda bencana alam, terutamanya pada musim panas, dengan sesetengah kawasan dilanda hujan lebat manakala yang lain pula menghadapi gelombang haba.
Bulan lalu, hujan lebat di utara Beijing telah meragut 44 nyawa, terutamanya di kawasan pinggir bandar.
China merupakan penyumbang terbesar pelepasan gas rumah hijau yang mencetuskan perubahan iklim, namun dalam masa sama juga merupakan peneraju tenaga boleh diperbaharui dunia dan berhasrat mencapai karbon sifar bersih menjelang 2060.


































