Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.1 bilion panggilan disekat manakala khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan turut disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi sejak 2022 hingga 1 Ogos 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dalam tempoh sama, 184,289 talian mudah alih dan talian tetap yang digunakan untuk menghantar SMS meragukan telah ditamatkan perkhidmatannya.
Katanya, sejak 1 September 2024, kerajaan menguatkuasakan larangan terhadap kandungan terlarang dalam SMS, termasuk pautan (hyperlink), permintaan maklumat peribadi dan nombor telefon yang digunakan sebagai telefon semula (callback) oleh pihak penipu.
“Langkah ini diambil bagi melindungi pengguna dan membendung jenayah penipuan dalam talian, di mana SMS kerap dieksploitasi oleh penjenayah yang menyamar sebagai entiti awam dan swasta bagi memperdaya orang ramai,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN–Beaufort) berhubung usaha menangani jenayah penipuan siber dan statistik kandungan penipuan yang diturunkan antara 2024 hingga 2025.
Fahmi berkata, sebanyak 112,734 kandungan penipuan di media sosial telah diturunkan dan tujuh laman sesawang berunsur penipuan disekat sepanjang 1 Januari 2024 hingga 1 Ogos 2025 atas permintaan MCMC kepada penyedia platform media sosial.
Katanya, tindakan itu dibuat berdasarkan aduan pengguna serta berpandukan garis panduan komuniti setiap platform yang selaras dengan undang-undang tempatan.
“Pada masa sama, Kementerian Komunikasi melalui MCMC turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha teknikal seperti penurunan kandungan, sekatan laman sesawang, analisis forensik digital dan pembekalan maklumat profilingbagi mempercepatkan proses siasatan kes penipuan dalam talian.
“Pindaan kepada Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan bahawa penyebaran kandungan palsu yang dilakukan dengan niat untuk menipu atau memperdaya mana-mana individu merupakan satu kesalahan serius,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah menubuhkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Bank Negara Malaysia dan MCMC untuk membanteras penipuan dalam talian.
“NSRC yang kini diterajui oleh PDRM bukan sahaja berfungsi sebagai pusat tindakan sehenti, malah turut giat melaksanakan program kesedaran awam dan kempen nasional berkaitan penipuan dan jenayah digital.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan,” katanya.


































