Norlila Ani dan pasangannya membuat urusan pengesahan pernikahan mereka di pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand kelmarin
HATYAI, THAILAND: Semua ejen perkhidmatan pernikahan di selatan Thailand kini dilarang membantu pasangan pengantin dalam urusan mendapatkan pengesahan perkahwinan di Kaunter Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan mendapati, ejen yang sebelum ini dibenarkan masuk ke bangunan konsulat bagi membantu pelanggan mengisi borang pengesahan kini hanya dibenarkan menunggu di luar kawasan premis.
Difahamkan larangan itu bertujuan melindungi kepentingan rakyat Malaysia, memastikan pernikahan dibuat secara sah dan telus serta mengekalkan integriti dan keselamatan Konsulat Malaysia di Songkhla.
Seorang ejen pernikahan yang dikenali sebagai Fadli berkata, larangan itu dikuatkuasakan kira-kira dua minggu lalu tanpa sebarang notis awal daripada pihak berkuasa konsulat.
“Sebelum ini, kami boleh masuk ke bangunan konsulat untuk membantu pasangan yang baru bernikah mengisi borang.
“Tetapi kini, hanya pasangan yang terlibat sahaja dibenarkan berurusan di kaunter,” katanya ketika ditemui di pekarangan Konsulat Malaysia di Songkhla.
Menurut Fadli, pihak konsulat seharusnya mempertimbangkan semula larangan itu kerana kehadiran ejen bertujuan membantu, bukan mengganggu operasi atau mengambil untung.
“Kami hanya mahu memudahkan proses. Ada pasangan yang tidak tahu mengisi borang dengan betul, terutama mereka yang kurang fasih Bahasa Melayu atau tidak biasa dengan istilah rasmi.
“Lagipun, kami tidak mengenakan bayaran tambahan pun kepada pelanggan,” katanya
Sementara itu, Norlila Ani, 51, yang melangsungkan akad nikah dengan pasangannya seorang warga Myanmar di sebuah masjid di Songkhla berkata, dia terpaksa uruskan sendiri pengesahan perkahwinannya di konsulat tanpa bantuan pihak ketiga.
“Pada mulanya saya agak gementar sebab tidak tahu prosedur, tetapi pegawai di situ cukup ramah dan membantu membetulkan bahagian yang saya isi salah.
“Saya faham mungkin pihak konsulat mahu elak kekeliruan atau pihak tidak bertanggungjawab, tetapi tetap ada baiknya jika ejen dibenarkan membantu dari jarak tertentu,” katanya.
Menurut Norlila, caj yang dikenakan oleh pihak konsulat ialah Thai Bhat 1,000 dan dia berharap tempoh pemprosesan pengesahan perkahwinan yang kini mengambil masa tiga hari dapat dipendekkan kepada dua hari seperti sebelum ini.
“Tiga hari terlalu lama dan kos pasangan makin tinggi sebab perlu tinggal di hotel lebih lama. Dulu dua hari pun sudah mencukupi,” katanya
Difahamkan, proses pengesahan pernikahan di Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla dipanjangkan kepada tiga hari sejak tahun lalu, berbanding dua hari sebelum itu.


































