PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang pengundi yang masih disahkan positif Covid-19 untuk mengundi adalah tidak sah dan telah melanggar melanggar hak untuk mengundi seseorang.
Menurut Utusan Malaysia, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Supang Lian bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim bagaimanapun turut memutuskan bahawa petugas SPR tidak berniat jahat ketika menghalang pengundi terbabit, R. K. Tamileswaaran, 29, untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
“Kami berpendapat bahawa hak perayu (Tamileswaaran) untuk mengundi adalah hak Perlembagaan (constitutional right) dan bukannya hak statutori (statutory right).
“(Bagaimanapun), dalam kes ini, kami tidak menggunakan budi bicara kami untuk memberikan pampasan atau ganti rugi perlembagaan kerana pelanggaran hak mengundi kerana tindakan responden pertama (SPR) dibuat semata-mata berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) demi kepentingan kesihatan dan keselamatan awam.
“Pegawai-pegawai SPR (juga) telah bertindak dengan niat baik dalam kes ini,”kata Hakim Kian Kheong ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit. Panel terbabit juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Sehubungan itu, Mahkamah mengisytiharkan bahawa tindakan SPR yang menghalang perayu untuk mengundi dalam PRN Johor pada 12 Mac 2022 atas alasan Tamileswaaran masih berada dalam tempoh kuarantin dan dijangkiti penyakit berjangkit adalah tidak sah.
Mahkamah turut mengisytiharkan bahawa SPR telah melanggar hak perlembagaan perayu sebagaimana termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk mengundi.
Pada prosiding yang dijalankan secara aplikasi Zoom itu, Tamileswaaran diwakili peguam, New Sin Yew manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Al-Saifi Hashim.
Tamileswaaran membuat rayuan tersebut berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2022 yang menolak permohonan semakan kehakimannya.
Menurut afidavit yang difailkan, Tamileswaaran mempersoalkan tindakan SPR yang tidak membenarkannya mengundi pada 12 Mac 2022 atas alasan dia sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
Tamileswaaran mendakwa beliau berada pada hari keenam kuarantin (hari pengundian) dan telah disahkan negatif melalui ujian kendiri Covid-19, namun tetap dihalang daripada memasuki khemah pengundian kerana status aplikasi MySejahtera menunjukkan dia berisiko tinggi.


































