Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menafikan dakwaan tular dalam media sosial bahawa pelajar perempuan berusia 13 tahun itu dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum meninggal dunia.
Menurut Utusan Malaysia, dua peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, ibu kepada arwah, Noraidah Lamat tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau memberikan maklumat berhubung dakwaan tersebut kepada mana-mana pihak.
Menurut mereka, video yang tular melibatkan seorang wanita mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah bersifat spekulatif dan boleh mengganggu siasatan polis.
“Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina, kami ingin menegaskan bahawa kenyataan wanita yang mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah tidak benar dan semata-mata spekulasi.
“Kami juga ingin menjelaskan bahawa penyebaran gambar kronologi kononnya menunjukkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth pada pukul 1.08 pagi, 16 Julai lalu, juga bukan datang daripada pihak keluarga atau anak guam kami,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua peguam turut menasihatkan wanita yang membuat dakwaan tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat terus kepada pihak polis, bukan menyebarkannya di media sosial.
Pada masa sama, mereka turut menegur tindakan menyebarkan gambar pelajar sekolah serta kenyataan negatif terhadap individu-individu yang dikaitkan dengan kes tersebut, yang menurut mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Tindakan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelas mereka.
Sebelum ini, tular beberapa dakwaan di media sosial kononnya Zara mengalami kecederaan dalaman akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh termasuk naratif liar bahawa ia bertujuan menghapuskan cap jari dan DNA.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu setakat ini.
Sehubungan itu, pihak peguam merayu agar semua pihak menghentikan penyebaran video, gambar dan maklumat yang belum disahkan, kerana ia hanya menambah tekanan emosi kepada keluarga mangsa.
“Kami menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk menyalurkannya kepada polis. Berhenti menyebarkan teori yang belum sahih kerana ia hanya menambahkan penderitaan keluarga,” tegas kenyataan itu


































