Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menempelak Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang didakwa kembali memainkan semula skrip lama menjelang pilihan raya dengan janji manis berulang berkaitan pendidikan anak-anak Sabah.
Beliau berkata, antara janji yang diulang ialah pelupusan hutang pendidikan seperti PTPTN dan pinjaman Yayasan Sabah, serta tawaran biasiswa penuh kepada semua anak Sabah, yang menurutnya tidak pernah pun dilaksanakan ketika Warisan mentadbir kerajaan negeri antara 2018 hingga 2020.
“Sedarkah beliau, sewaktu memegang tampuk kuasa sebagai Ketua Menteri selama dua tahun, tidak ada satu dasar pun yang menunjukkan kesungguhan memperjuangkan pendidikan anak Sabah? Tiada pelupusan hutang, tiada dermasiswa baharu, tiada dana khas untuk mahasiswa luar negeri. Yang ada hanyalah retorik demi retorik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, kini setelah kembali ke kerusi pembangkang, Mohd.Shafie cuba menabur janji lama yang dibungkus semula dengan gaya baru semata-mata untuk meraih simpati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.
“Rakyat Sabah bukan pelupa. Mereka bukan mudah terpedaya dengan janji bulan dan bintang yang tidak pernah ditunaikan,” tegasnya.
Sebaliknya, beliau berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Noor tidak menjual mimpi sebaliknya membuktikan komitmen melalui pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan secara nyata dan bertanggungjawab.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk Dana Bantuan Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk pelajar dari keluarga B40, pelaksanaan Dermasiswa Sabah Maju Jaya (SMJ), penambahan peruntukan kepada Yayasan Sabah bagi biasiswa dan bantuan pendidikan, pembangunan semula sekolah daif di luar bandar, serta inisiatif khas kepada mahasiswa Sabah di luar negeri.
“Semua ini adalah bukti komitmen Kerajaan GRS terhadap masa depan generasi muda Sabah, bukan sekadar cakap-cakap kosong atau janji retorik pilihan raya,” kata Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Katanya, Kerajaan GRS komited untuk terus bekerja dan menyampaikan hasil kepada rakyat, bukan memancing simpati dengan naratif populis yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
“Pendidikan bukan alat propaganda. Ia adalah amanah dan tanggungjawab untuk membina generasi masa depan. Rakyat Sabah, khususnya golongan muda, harus bijak menilai dan tidak mudah dipergunakan,” tegasnya.
Tambah beliau, Kerajaan GRS akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar, tanpa menjadikan isu pelajar sebagai modal politik murahan.
“Kerajaan ini tidak menjanjikan mimpi, kami tunjukkan hasil. Kami bekerja, bukan berjanji. Kami memberi, bukan memancing simpati,” katanya lagi.
Menurut Nizam, rakyat Sabah berhak untuk terus maju dan tidak seharusnya mundur hanya kerana termakan dengan janji lama yang dibungkus dengan wajah baru.
































