Mohd Khalid Ismail
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan kertas siasatan kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, beliau mengesahkan perkara itu ketika dihubungi di sini hari ini.
“Ya saya sahkan, telah serah hari ini,” katanya ringkas menerusi Whatsapp.
Semalam, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir membuat satu lagi laporan polis berhubung kematian anaknya pada 16 Julai lalu.
Laporan dibuat di Balai Polis Sipitang, Sabah, selepas beliau teringat semula melihat kesan lebam pada belakang badan Zara ketika memandikan jenazah anaknya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada 17 Julai.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.
































