BANGKOK: Sebuah hospital swasta utama di Thailand didenda sebanyak 1.21 juta baht (RM158,000) selepas didapati gagal menguruskan rekod perubatan pesakit dengan baik apabila dokumen sulit tersebut ditemui digunakan sebagai pembungkus makanan ringan.
Menurut Utusan Malaysia, Jawatankuasa Perlindungan Data Peribadi Thailand (PDPC) mendedahkan, kejadian itu merupakan antara lima kes besar pelanggaran undang-undang data yang diumumkan pada Jumaat, membabitkan beberapa entiti termasuk sektor awam dan swasta.
Hospital terbabit yang tidak dinamakan itu menjadi tumpuan selepas kertas rekod dari fail daftar pesakitnya dikesan digunakan untuk membungkus kuih tradisional popular, khanom Tokyo, yang dijual di tepi jalan.
Siasatan pihak PDPC mendedahkan lebih 1,000 dokumen yang mengandungi maklumat peribadi pesakit telah ‘hilang’ selepas dihantar untuk dimusnahkan.
Pihak hospital menjelaskan, mereka telah melantik sebuah perniagaan kecil untuk melupuskan dokumen tersebut, namun gagal membuat pemantauan lanjut manakala pemilik syarikat pelupusan itu pula mengaku menyimpan di rumahnya sebelum ia terdedah dan digunakan secara tidak wajar.
Berikutan itu, PDPC mengenakan denda sebanyak 1.21 juta baht terhadap hospital berkenaan, manakala pemilik perniagaan kecil itu turut dikenakan denda sebanyak 16,940 baht (RM2,200).
Dalam kes berasingan, satu agensi kerajaan didapati membocorkan maklumat peribadi lebih 200,000 rakyat selepas aplikasi web mereka digodam dan kemudiannya dijual di ‘dark web’.
Siasatan mendapati agensi berkenaan tidak mempunyai sistem keselamatan siber yang mencukupi, termasuk penggunaan kata laluan lemah, tiada penilaian risiko serta ketiadaan perjanjian pemprosesan data dengan pembangun aplikasi berkenaan.
Sehubungan itu, denda berjumlah 153,120 baht (RM20,000) dikenakan ke atas agensi terbabit serta kontraktor swasta yang bertanggungjawab.
Tiga lagi kes membabitkan kebocoran data daripada pengedar dan peruncit dalam talian, dengan denda yang dikenakan antara 500,000 hingga 7 juta baht (RM65,302 hingga RM914,238).
Sejak awal tahun 2024, PDPC berjaya menyelesaikan enam kes pelanggaran data peribadi dengan jumlah keseluruhan denda yang dikenakan mencecah 21.5 juta baht (RM2.8 juta).
































