Keadaan bas yang membawa 30 murid dan lima guru Pasti Ampang selepas terbabas dan melanggar sebatang pokok.
PETALING JAYA: Punca kemalangan membabitkan bas rombongan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini semalam akibat pemandunya dipercayai terlelap kerana keletihan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki tempatan berusia 44 tahun itu berada dalam keadaan tidak cukup rehat ketika memandu.
“Punca kemalangan berdasarkan siasatan adalah disebabkan pemandu tidak cukup tidur dan dipercayai terlelap ketika melalui jalan berkenaan.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemandu bas itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, semakan juga mendapati individu terbabit mempunyai 13 saman lampau atas nama sendiri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.18 tengah hari semalam, bas membawa 30 murid dan lima guru Pasti Ampang terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM.
Ketika kejadian, rombongan itu dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Tiga murid dan seorang guru mengalami kecederaan ringan pada kepala dan dirawat di Hospital Serdang.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli hari dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap pengendali bas terbabit.
JPJ akan jalankan JISA ke atas pengendali bas tersebut dan akan ambil tindakan selanjutnya selepas laporan audit diterima.
































