Mahkamah mengarahkan Tesla membayar pampasan RM1.4 bilion kepada keluarga mangsa terkorban dan seorang mangsa terselamat.
MIAMI: Juri mahkamah Florida memutuskan Tesla bertanggungjawab dalam kemalangan maut pada 2019 melibatkan Model S yang dilengkapi sistem bantuan pemanduan, Autopilot.
Susulan itu, Mahkamah Persekutuan Miami mengarahkan syarikat automotif milik jutawan Elon Musk untuk membayar pampasan sebanyak AS$329 juta (RM1.4 bilion) kepada keluarga mangsa terkorban dan seorang mangsa terselamat.
Menurut Utusan Malaysia, dalam keputusan tersebut, juri memerintahkan Tesla membayar pampasan sebanyak AS$129 juta (RM551 juta) dan ganti rugi punitif AS$200 juta (RM855 juta) kepada waris Naibel Benavides Leon serta bekas teman lelakinya, Dillon Angulo.
Kemalangan itu berlaku apabila Tesla yang dipandu George McGee melanggar sebuah SUV Chevrolet di Key Largo, menyebabkan Leo maut dan Angulo cedera.
Peguam plaintif memaklumkan, kes itu merupakan perbicaraan pertama melibatkan kematian pihak ketiga yang dikaitkan dengan sistem Autopilot Tesla.
“Tesla mereka sistem Autopilot untuk digunakan hanya di lebuh raya terkawal, tetapi dengan sengaja tidak menyekat penggunaannya di kawasan lain.
“Keputusan hari ini mewakili keadilan untuk kematian tragik Leon dan kecederaan seumur hidup yang dialami Angulo,” kata peguam plaintif, Brett Schreiber dalam satu kenyataan.
Plaintif sebelum ini menuntut ganti rugi sebanyak AS$345 juta (RM1.47 bilion).
Sebelum ini, Tesla berdepan banyak saman berkaitan teknologi pemanduan sendiri, tetapi kebanyakannya diselesaikan atau ditolak sebelum dibicarakan.
Keputusan itu dijangka boleh menjejaskan usaha Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, untuk meyakinkan pelabur bahawa syarikat itu mampu meneraju teknologi pemanduan autonomi, termasuk perancangan menghasilkan roboteksi mulai tahun depan.
Saham Tesla turut dilaporkan susut 1.8 peratus pada Jumaat, susulan keputusan juri itu.
































