Steven Sim Chee Keong menyerahkan tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada Lim Siew Khim di George Town, Pulau Pinang, kelmarin.
GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yakin sasaran sejuta pencarum aktif bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menjelang hujung tahun ini berada di landasan tepat hasil pelbagai usaha dan kempen kesedaran yang sedang giat dijalankan di seluruh negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, setakat ini, terdapat lebih 800,000 pencarum aktif di seluruh negara yang mencarum di bawah skim berkenaan dan angka tersebut dijangka meningkat dalam masa terdekat.
“Kita memang yakin dengan usaha pelbagai pihak khususnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan rakan strategik lain. Oleh itu, sasaran satu juta pencarum boleh dicapai menjelang hujung tahun ini,” katanya selepas merasmikan sesi libat urus Perkeso bersama pekhidmat rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang.
Pada majlis itu, seramai 200 individu yang bertugas sebagai pekhidmat rumah ibadat bukan Islam dari seluruh Pulau Pinang menerima tajaan caruman SKSPS sebagai usaha menggalakkan lebih ramai dalam kalangan komuniti tersebut menyertai skim keselamatan sosial yang ditawarkan kerajaan.
Selain menawarkan pelbagai faedah penting termasuk perlindungan jika berlaku kemalangan, SKSPS turut menawarkan bantuan perubatan, rawatan pemulihan, bayaran pampasan serta pencen kepada pencarum dan waris mereka.
Menurut Steven, masih ramai individu dalam sektor bekerja sendiri termasuk penjaja, pemandu e-hailing, petani, nelayan serta pengendali rumah ibadat bukan Islam yang tidak mengetahui bahawa mereka layak untuk mencarum di bawah skim berkenaan.
“Kita mahu semua lapisan masyarakat sedar bahawa perlindungan sosial ini terbuka kepada semua termasuk mereka di rumah ibadat bukan Islam,” katanya yang memberitahu, SKSPS amat penting kepada golongan B40 dan M40 yang bekerja sendiri.
Jelas beliau, usaha memperluas kesedaran ini juga menjadi agenda penting kerajaan dalam memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang pekerjaan, mendapat perlindungan sewajarnya.
“Ini bukan hanya soal caruman, tetapi soal keselamatan, kelangsungan hidup dan kesejahteraan sosial rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Tambahnya, program di Pulau Pinang ini menjadi sebahagian daripada siri jelajah dan kempen kesedaran yang dirancang di seluruh negara bagi merancakkan penyertaan masyarakat dalam skim pekerjaan sendiri Perkeso menjelang hujung tahun.
“Kita mahu lebih ramai tahu bahawa mereka juga boleh dilindungi di bawah skim ini. Itu yang paling penting,” katanya.
































