TANGKAK: Seorang warga emas kerugian RM57,290 akibat terpedaya khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar individu menyamar sebagai pegawai bank negara, Jumaat.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan berkait kes penipuan di mana mangsa telah mengalami kerugian yang besar pada 1 Ogos 2025.
Beliau berkata, mangsa, lelaki tempatan berusia 69 tahun, telah memberikan maklumat aplikasi perbankan MAE (perbankan atas talian) kepada suspek pada hari kejadian.
“Modes operandi suspek adalah, dia memperkenalkan diri sebagai pegawai Bank Negara Malaysia dan mangsa terpedaya setelah menerima pesanan SMS daripada suspek.
“Setelah berjaya mendapat akses ke atas akaun mangsa, suspek telah berjaya memindahkan wang mangsa ke dalam dua akaun disyaki ‘mule’ melibatkan empat transaksi berjumlah RM57,290.
“Wang berkenaan adalah wang hasil simpanan mangsa,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Tambah Roslan, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan ‘modus operandi’ penipuan pesanan ringkas yang menyamar sebagai pegawai bank.
“Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’.
“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa ‘scam’, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” katanya.
































