Amir Hamzah Azizan pada sidang akhbar selepas Sesi Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen, Khamis.
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah mempelbagaikan dan mengembangkan ekonomi negara bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat pada masa hadapan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk mencapai aspirasi Madani yang bukan sahaja menekankan pembangunan fizikal tetapi memastikan rakyat turut menikmati hasil kemajuan negara.
Beliau yang juga menjalankan tugas Menteri Ekonomi berkata, matlamat kerajaan bukan sekadar menjadi negara yang membangun dari segi fizikal atau ekonomi tetapi juga memastikan rakyat turut merasai nikmat pembangunan yang dilaksanakan
Katanya, aspirasi Malaysia adalah berskala besar dan memerlukan pendekatan berani serta berbeza daripada kebiasaan untuk melonjak ke hadapan.
“Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah satu pemangkin bagi mencapai aspirasi ekonomi Madani yang ada dan apa yang kita mahukan adalah apa yang dibuat kerajaan sampai kepada rakyat.
“Kita mengambil pergerakan untuk merencamkan ekonomi untuk membesarkan ekonomi dan mencari jalan bagi meningkatkan peluang yang ada dalam negara dan diterjemahkan kepada rakyat Malaysia mendapat pekerjaan yang lebih baik di masa hadapan.
“Aspirasi kita adalah satu aspirasi besar. Jadi kita perlu berani untuk melonjak kehadapan dan mengambil pendekatan yang lain daripada apa yang pernah dibuat,” katanya pada sidang akhbar selepas Pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Khamis.
Amir Hamzah turut yakin bahawa pelan jangka sederhana itu akan membuka lembaran baharu dalam agenda pembangunan negara dan perbahasan di Parlimen nanti akan memperincikan pelaksanaan strategiknya.
































