Dr. Joachim bersalam dan beramah mesra dengan penduduk kampung ketika tiba di Dewan Kg. Sumbilingon.
RANAU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam tempoh lima tahun ini terus komited melaksanakan pelbagai program yang menekankan aspek kebajikan dan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, antara tumpuan utama Kerajaan Negeri adalah khususnya dalam pendidikan.
“Kerajaan Sabah telah memperkenalkan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara one-off sebanyak RM2,000 kepada pelajar peringkat Ijazah dan RM1,500 untuk pelajar Diploma atau Matrikulasi.
“Selain itu, setiap sekolah turut menerima bantuan RM3,000 bagi melaksanakan aktiviti atau membeli keperluan asas,” katanya ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Sumbilingon, di sini, kelmarin.

Dr. Joachim (empat dari kanan) menerima borang keahlian Parti Bersatu Sabah ketika mengadakan lawatan dan menyantuni penduduk Kg Tanid.
Kerajaan Negeri turut menaikkan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM51 juta kepada RM128 juta tahun ini sebagai komitmen memperkukuh peluang pendidikan anak Sabah.
Dr. Joachim turut menyifatkan penyediaan Rumah Mesra SMJ sebagai satu inisiatif perumahan yang signifikan kepada rakyat yang memerlukan, malah lebih baik berbanding skim-skim terdahulu.
Beliau berkata, hasil Kerajaan Negeri juga mencatat peningkatan ketara sehingga hampir mencecah RM7 bilion dalam tempoh lima tahun sejak pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Apa yang membanggakan, Sabah kini memperoleh pulangan lebih besar berbanding hanya lima peratus royalti petroleum. Melalui SMJ Energy Sdn. Bhd., kita berjaya memiliki 25 peratus kepentingan dalam Kemudahan Gas Asli Cecair Terapung berhampiran pantai (ZLNG) di Sipitang hasil perjanjian dengan PETRONAS,” katanya.
Projek bernilai USD3.1 bilion itu dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), tambahnya.

Dr. Joachim (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama belia serta semua yang hadir dalam pertandingan motosikal lasak.
Beliau berkata, Projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang turut mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Jika trend peningkatan hasil ini berterusan, dalam tempoh lima tahun akan datang kita berharap Sabah dapat mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Persekutuan, terutamanya bagi pembangunan luar bandar,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri dan Kerajaan GRS bagi memastikan kesinambungan segala manfaat yang sedang dan akan dilaksanakan.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah GRS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi memacu kemajuan negeri secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau juga menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri kelmarin, yang menurutnya selaras dengan keperluan sebenar pembangunan di Sabah.
“Keutamaan kita kekal pada lima aspek utama iaitu pembangunan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih, pembaikan sekolah daif dan peningkatan kemudahan kesihatan.
“Sebagai contoh, pembinaan klinik kesihatan yang amat diperlukan di kawasan pedalaman seperti Mukim Kaingaran yang mempunyai populasi tinggi,” katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Politik beliau, Yubidi Gompoyo serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang.
Terdahulu Dr. Joachim menyantuni penduduk Kg. Tanid ketika melawat gereja SIB di situ dan pada sebelah petang, Dr. Joachim merasmikan pelepasan pertandingan motosikal lasak (Motor Cross) dan perlawanan bola sepak belia Kg Sumbilingon.


































