PETALING JAYA: Empat pelajar tingkatan satu ditahan selepas disyaki menumbuk dan menampar rakan sekelas mereka dalam kejadian di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Kajang, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kesemua remaja berusia 13 tahun itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis pada pukul 12.57 tengah hari.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika mangsa dan beberapa rakan ke pusat beli-belah tersebut. Mangsa dipanggil oleh suspek bagi berbincang mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap sikapnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, satu rakaman video tular menunjukkan mangsa ditumbuk dan ditampar oleh seorang pelajar manakala dua lagi merakam kejadian menggunakan telefon.
Mangsa kemudian menerima rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka.
Naazron berkata, keempat-empat suspek ditahan di sekitar Bandar Kajang dan direman dua hari untuk siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 502 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat agar menghubungi Inspektor Shahrulhasram Ramli di talian 017-2530380.
“Polis memandang serius isu pergaduhan dalam kalangan pelajar dan akan ambil tindakan tegas,” katanya.


































