Sebahagian daripada enam anggota polis dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
TEMERLOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam anggota polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan kesalahan memiliki air ketum.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos ini terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Khamisah Ismail selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.
Menurut sumber, keenam-enam suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 9 malam Rabu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Temerloh.
“Kejadian bermula apabila semua suspek menahan lima individu dalam satu operasi di sekitar daerah Temerloh pada Mei lalu kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki air ketum. Salah seorang suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu yang bertindak sebagai orang tengah,” katanya di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
































