Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat kelmarin. – Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempelbagaikan sumber import makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara tertentu dan memperkukuh kawal selia kemasukan makanan ke dalam negara bagi menjamin keselamatan serta kualiti makanan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menjamin pengupayaan rakyat, menaikkan taraf kehidupan sosial serta memastikan akses kepada keperluan asas seperti makanan, perumahan dan kesihatan pada harga mampu milik.
“Kebergantungan negara kepada makanan import masih tinggi dan jika berlaku kelumpuhan bekalan dari negara pengeksport, ia boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, kelmarin.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan meningkatkan penghasilan produk makanan dalam negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian berskala besar di negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun akan dipercepatkan dan diperluas pelaksanaannya di kawasan-kawasan utama seperti MADA (Kedah dan Perlis), KADA (Kelantan), serta kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, kecekapan rantaian bekalan makanan juga akan ditambah baik secara menyeluruh merangkumi infrastruktur pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran, termasuk sektor peruncitan berskala kecil dan sederhana.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan keperluan perubahan minda dalam kalangan rakyat agar tidak lagi melihat sektor pertanian sekadar sebagai kegiatan sara diri semata-mata, sebaliknya sebagai peluang ekonomi yang menguntungkan.
“Segala ikhtiar ini dijangka dapat meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan negara kepada RM58 bilion menjelang tahun 2030,” katanya.
































