Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif asas sebanyak 10 peratus dan duti import lebih tinggi pada 2 April lalu.
WASHINGTON: Presiden Donald Trump menandatangani perintah yang mengenakan tarif lebih tinggi ke atas puluhan negara, dalam usaha terbaharunya merombak semula perdagangan global demi kepentingan perniagaaan Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, di bawah perintah itu, kadar tarif ke atas import akan bermula dalam tempoh tujuh hari, dengan Syria dikenakan sehingga 41 peratus, manakala kadar lain ditentukan berdasarkan perjanjian perdagangan sedia ada dengan rakan seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.
Dalam pengumuman berasingan, Rumah Putih memaklumkan tarif ke atas import dari Kanada akan meningkat kepada 35 peratus bermula Jumaat, berbanding 25 peratus sebelum ini.
Bagaimanapun, pengecualian masih diberikan kepada barangan dari Kanada dan Mexico yang memasuki AS di bawah perjanjian perdagangan Amerika Utara.
Mexico terus dikenakan tarif pada kadar 25 peratus.
Pengumuman terbaharu itu menandakan kemuncak kepada siri usaha tergesa-gesa untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan pentadbiran Trump yang berakhir hari ini.
Setakat ini, Washington mengumumkan perjanjian dengan beberapa negara termasuk Britain, Vietnam, Jepun, Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan EU.
Namun, butiran penuh mengenai perjanjian tersebut masih belum didedahkan secara jelas.
Dalam masa sama, pertikaian perdagangan antara AS dan China yang masih belum diselesaikan terus membayangi ekonomi global
































