KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri pada masa ini telah meletakkan asas kukuh bagi visi dan pelan pembangunan ekonomi Sabah yang mampan dan progresif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun lalu, Kerajaan Negeri telah membina sebuah Sabah yang baharu — kuat dan bersatu — sambil mengajak dunia untuk memanfaatkan kekayaan semula jadi dan khazanah negeri ini demi kehidupan yang lebih baik buat rakyatnya.
“Sabah kaya dengan pelbagai sumber – daripada mineral seperti emas, tembaga, silika, minyak sawit, koko serta pelbagai sumber tenaga seperti petroleum mentah, gas, hidroelektrik, arang batu dan lain-lain.
“Lautan kita pula murah hati memberikan pelbagai makanan laut eksotik yang sangat diminati, selain tenaga terma, sambil mengekalkan terumbu karang yang bersih dan belum terusik,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah ASEAN anjuran International Business Review (IBR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, Sabah telah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial bersama Petronas, membolehkan negeri ini mempunyai lebih banyak penyertaan serta suara dalam industri minyak dan gas di Sabah.
“Kita kini memiliki 50 peratus ekuiti dalam medan minyak dan gas Samarang, 25 peratus ekuiti dalam Samur dan pada 17 Julai 2025, kita menandatangani perjanjian dengan Petronas untuk memperoleh 25 peratus ekuiti dalam kemudahan floating liquefied natural gas (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion (juga dikenali sebagai PFLNG 3), pelaburan LNG berasaskan darat di Sipitang,” katanya.
“Dari segi pelaburan pula, usaha kita membuahkan hasil apabila Sabah mencatat pelaburan asing dan domestik yang diluluskan berjumlah RM17.41 bilion daripada 73 syarikat dalam sektor pembuatan sejak September 2020.
“Daripada jumlah itu, 52 syarikat telah memulakan operasi di negeri ini dengan jumlah pelaburan RM7.8 bilion, sekali gus mewujudkan 3,636 peluang pekerjaan,” katanya.
Antara tahun 2022 hingga 2024, Hajiji berkata Sabah telah menerima cadangan pelaburan baharu bernilai tambahan RM42.3 bilion, yang dijangka mewujudkan 32,996 peluang pekerjaan.
Beliau berkata pelaburan tiga fasa oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion yang dilancarkan pada akhir Jun tahun ini dijangka memberi kesan berganda melebihi teknologi hijau, merangsang inovasi serta membawa manfaat kepada komuniti dan perniagaan di Sabah.
Hajiji berkata, bagi memenuhi permintaan tinggi pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan tiga taman perindustrian baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat (untuk Taman Perindustrian Ekonomi Biru) — semuanya terletak secara strategik bagi merangsang peluang pelaburan.
“Kita yakin perkembangan ini akan membawa kemajuan besar kepada Sabah dalam meneroka horizon baharu dan merealisasikan potensi negeri ini sepenuhnya.
“Sabah sentiasa mesra pelabur, dan kita telah melaksanakan dasar yang menarik minat pelabur. Kita komited menyediakan persekitaran kondusif yang menyokong pelaburan dan menggalakkan kerjasama.
“Kita faham kepentingan mewujudkan suasana yang stabil, telus dan menyokong supaya pelaburan dapat berkembang,” katanya.
“Kita mengalu-alukan lebih banyak sambungan penerbangan terus agar pelabur, pelancong dan pengembara perniagaan dapat mengakses Sabah dengan lebih mudah. Laluan baharu Kota Kinabalu-Taipei-Fukuoka oleh AirAsia adalah contoh yang akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan pelaburan, dan kita berharap akan ada lebih banyak laluan dibuka pada masa akan datang,” katanya.
Hajiji berkata, satu industri yang bakal menjadi pemangkin perubahan dan menawarkan peluang pelaburan besar kepada Sabah ialah Blue Economy atau Ekonomi Biru, yang telah diperkenalkan di Kudat.
“Sektor ini dijangka menghasilkan 491,000 tan metrik hasil laut seperti ikan dan udang setiap tahun dengan nilai RM3.25 bilion. Namun, Ekonomi Biru bukan sekadar penuaian laut dalam,” katanya.
Malah, terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai, seperti tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin, antara lainnya, kata beliau.
Bercakap tentang tenaga laut, Hajiji berkata antara yang paling menarik ialah Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC), iaitu teknologi yang menukarkan tenaga daripada lautan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Loji tenaga OTEC kini dalam perancangan untuk dibangunkan sepanjang 500km garis pantai, dan berpotensi menjana 20,000MW tenaga hijau — satu skala yang belum pernah dicapai di dunia. Ini bukan sekadar pencapaian besar untuk negara, malah untuk seluruh rantau ini,” katanya.
Mengenai bekalan tenaga, Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040, yang dijangka dapat menjana 700MW dalam tempoh 1-2 tahun akan datang bagi memenuhi keperluan pelabur dan rakyat.
Begitu juga, beliau berkata sebanyak RM679.85 juta telah diperuntukkan pada 2024 untuk menangani kekurangan bekalan air serta melaksanakan pelan jangka panjang termasuk penyiapan projek hidroelektrik Ulu Padas, yang berkapasiti pelepasan harian sebanyak 6,000 juta liter air.
Hajiji turut berkata bahawa Sabah telah melabur secara besar-besaran dalam pembangunan modal insan, dengan hampir RM1 bilion telah dibelanjakan untuk pendidikan dan pelbagai program pembangunan belia dari tahun 2021 hingga 2024.

































