Gambar pemandangan udara menunjukkan kawasan hutan yang ditebang di Amazon, Brazil.
BRASILIA: Kongres Brazil meluluskan satu rang undang-undang baharu yang dilihat sebagai tamparan paling hebat terhadap perlindungan alam sekitar negara itu dalam tempoh lebih 40 tahun, sekaligus mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan aktivis dan pemerhati alam sekitar.
Menurut Utusan Malaysia, rang undang-undang berkenaan, yang digelar sebagai ‘undang-undang pemusnahan’ oleh 350 pertubuhan dan gerakan sosial, diluluskan Dewan Perwakilan dengan 267 undi menyokong berbanding 116 undi menolak.
Rang undang-undang itu kini berada di tangan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva yang mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat keputusan sama ada meluluskannya atau menggunakan kuasa veto.
Namun, penganalisis berpendapat walaupun Lula menggunakan kuasa veto, kemungkinan besar Kongres yang dikuasai parti konservatif akan menolak keputusan itu, sekali gus membawa isu tersebut ke Mahkamah Agung memandangkan terdapat hujah undang-undang bercanggah dengan Perlembagaan Brazil.
Undang-undang ini bakal mengakibatkan kemusnahan hutan berskala besar dan meningkatkan risiko bencana alam yang berpunca daripada perbuatan manusia.
Antara perkara yang paling dikecam adalah pindaan terhadap sistem perlesenan alam sekitar negara itu di mana di bawah undang-undang baharu, projek yang diklasifikasikan berpotensi menyebabkan pencemaran peringkat sederhana boleh mendapat lesen melalui borang dalam talian secara perisytiharan sendiri.
Undang-undang tersebut turut mengehadkan peranan agensi bertanggungjawab melindungi hak komuniti Orang Asli dan masyarakat Quilombola di mana ia hanya dibenarkan campur tangan dalam proses perlesenan sekiranya projek tersebut berada di atas tanah yang sudah diiktiraf secara rasmi.
Lebih 30 peratus kawasan Orang Asli dan 80 peratus kawasan Quilombola yang masih menunggu pengiktirafan selama bertahun-tahun akan terdedah kepada ancaman eksploitasi.
Jika undang-undang ini dikuatkuasakan, ia dijangka mencetuskan gelombang tindakan undang-undang.
































