PETALING JAYA: Keterangan lima saksi termasuk pengasuh dua kanak-kanak lelaki telah diambil selepas dua beradik itu ditemukan di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini, lima keterangan sudah dirakam dan kita baru buka kertas siasatan.
“Apabila kertas siasatan sudah lengkap saya akan maklumkan tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, dua kanak-kanak lelaki ditemukan selamat selepas keluar dari rumah ketika pengasuh sedang tidur.
Naazron dilaporkan berkata, Polis Daerah Kajang mengesahkan pada kira-kira pukul 11.57 pagi, menerima dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan enam tahun daripada orang awam di Balai Polis Bangi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dan siasatan awal, kanak-kanak warga tempatan itu ditemukan oleh orang awam dalam keadaan baik di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa sebelum dibawa ke Balai Polis.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
































