Fadil Marsus
PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung akaun TikTok palsu menggunakan nama dan gambar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menipu orang awam.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menerima laporan berkaitan akaun TikTok @saifuddin_nasution1 yang menggunakan teknik AI (kecerdasan buatan).
“Akaun itu disyaki palsu atas nama Menteri Dalam Negeri dengan menawarkan bantuan kewangan bagi tujuan tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau berkata, polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati, tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran bantuan kewangan melalui media sosial dan sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum mengambil sebarang tindakan.
Katanya, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam pelanggaran undang-undang.
Sebelum ini, beberapa akaun palsu dikesan di TikTok yang menyalahgunakan nama dan gambar Saifuddin Nasution untuk menipu orang awam.
Pejabat Menteri Dalam Negeri (MDN) dalam kenyataan memaklumkan akaun rasmi Tiktok Saifuddin Nasution adalah menggunakan nama penuh beliau Saifuddin Nasution.
Akaun palsu yang dikesan itu mendakwa kononnya Saifuddin Nasution ingin menyalurkan bantuan kewangan melalui pautan WhatsApp yang diletakkan di ruangan bio.
Sebenarnya, ia adalah penipuan yang bertujuan memperdaya orang ramai untuk membuat bayaran pendahuluan.

































