KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) akan menganjurkan Konvensyen Bersama pada Sabtu ini (12 Julai), dengan perbincangan tertumpu kepada isu semasa serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
Konvensyen yang akan berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang itu dijangka dirasmikan oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Lebih 5,000 orang termasuk pemimpin parti, wakil akar umbi dan ahli kedua-dua parti dijangka menghadiri konvensyen berkenaan.
Jemputan turut diberikan kepada pemimpin parti komponen dalam gabungan GRS.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dijadual menyampaikan ucaptama mengenai halatuju dalam menghadapi pilihan raya negeri yang bakal tiba.
Konvensyen ini diadakan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara PBS dan StarSabah pada 18 April 2024 yang bertujuan memperkukuh kerjasama bagi memastikan kejayaan GRS dalam pilihan raya.


































