Harun Durabi
KOTA KINABALU: Seramai 1,342,441 orang pengunjung telah direkodkan di seluruh rangkaian perpustakaan negeri sepanjang tahun lalu.
Manakala bagi tempoh sehingga Jun 2025, Perpustakaan Negeri Sabah telah mencatatkan seramai 474,399 orang pengunjung.
Pembantu Menteri Sains, Teknologi and Inovasi, Datuk Harun Durabi berkata, dalam usaha meningkatkan jumlah pengunjung, pihak perpustakaan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dan program sepanjang tahun.
“Antaranya termasuklah Minggu Perpustakaan yang dijadualkan pada bulan Ogos dan Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak pada bulan Oktober,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Jaffari Waliam (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Harun berkata, selain itu, perpustakaan juga memperluaskan akses kepada bahan digital dengan menyediakan bantuan tablet kepada 10 perpustakaan cawangan bagi membolehkan pengunjung mengakses e-buku.
“Usaha ini dijangka akan menarik lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan kemudahan di perpustakaan, khususnya di kawasan luar bandar.”


































