PETALING JAYA: Dua beranak ditahan polis susulan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah di Jalan Perdana 6/5, Taman Pandan Perdana, di sini pada 22 Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 7.16 malam yang memaklumkan berhubung kematian seorang lelaki di lokasi berkenaan.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dikerahkan ke lokasi dan kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat.
“Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Ampang pada 23 Jun lalu mendapati terdapat unsur jenayah dan siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Susulan itu, kita menahan dua beranak berusia 36 dan 73 tahun antara 26 hingga 28 Jun lalu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) IPD Ampang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu merupakan rakan karib kepada seorang daripada suspek ditahan.
Jelas beliau, siasatan mendapati mangsa ditemukan mati di kediaman rakan karibnya itu selain tinggal dalam kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah suspek.
“Punca kematian disebabkan jangkitan kuman pada otot disebabkan kecederaan pada kulit dan tulang.
“Salah seorang suspek bekerja sendiri, manakala seorang lagi tidak bekerja.
“Saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, dan semakan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Tambahnya, turut dirampas sebatang rotan buluh dan sepasang playar boleh laras bagi membantu siasatan,” katanya.
“Perintah reman terhadap suspek pertama dibenarkan selama 14 hari bermula 27 Jun hingga 10 Julai ini manakala suspek kedua direman 13 hari bermula 29 Jun hingga 11 Julai,” katanya.
“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada hutang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

































