Amisah Yassin
KOTA KINABALU: Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan 2025 yang dibentangkan Kerajaan Negeri bukan untuk kepentingan politik, sebaliknya satu keperluan mendesak demi kesejahteraan rakyat, tegas ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin.
Berucap membahaskan usul berkenaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap penyata tambahan berjumlah RM1.18 bilion itu, sambil menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan Kerajaan terhadap keperluan rakyat, khususnya di luar bandar.
“Ini bukan bajet untuk gaji atau lawatan ke luar negara, tetapi untuk jalan raya, bekalan air, sekolah, rumah ibadah dan keperluan asas rakyat. Rakyat akan menilai siapa yang benar-benar bersama mereka dan siapa yang hanya berpolitik,” katanya.
Menurut Amisah, meskipun Kerajaan telah memperuntukkan RM6.28 bilion menerusi Belanjawan 2025, lonjakan kos bahan binaan serta keperluan pembangunan yang mendesak memerlukan suntikan tambahan bagi memastikan projek-projek dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau turut menyambut baik peruntukan besar kepada Jabatan Air Sabah (RM109 juta) bagi menangani isu bekalan air di beberapa daerah yang telah lama terjejas seperti Ranau, Pitas dan Tongod.
“Masalah air di kawasan luar bandar bukan baharu. Rakyat sudah lama menunggu penyelesaian dan Kerajaan akhirnya tampil dengan langkah konkrit,” katanya.
Antara kementerian dan jabatan lain yang turut menerima peruntukan tambahan ialah Jabatan Ketua Menteri (RM40 juta) bagi pengurusan risiko dan pemantauan projek, Kementerian Belia dan Sukan (RM11 juta), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (RM16.01 juta), serta Kementerian Pembangunan Masyarakat (RM4.9 juta) bagi membantu golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal.
Amisah turut memuji pendekatan Kerajaan yang semakin inklusif dengan memberi perhatian khusus kepada daerah-daerah pedalaman seperti Tongod, Nabawan, Pitas, Beluran dan Telupid.
“Kerajaan tidak duduk diam. Ia bertindak segera dan mendengar suara rakyat luar bandar. Kita mahu pembangunan yang seimbang, bukan hanya tertumpu di bandar,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar aspek pemantauan dan pelaksanaan projek diberi penekanan agar peruntukan tambahan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.


































