Anggota Jabatan Bomba bertungkus lumus mengeluarkan mayat enam mangsa lemas dari dalam kereta yang dinaiki mereka yang tenggelam di dalam Sungai Korok di Jitra, Kedah, semalam.
KUBANG PASU: Kereta yang dinaiki enam beranak yang ditemukan lemas dalam Sungai Korok, Jitra semalam dipercayai terbabas sebelum terhumban ke sungai itu awal pagi Sabtu lepas.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemandu kereta itu dalam keadaan mengantuk.
“Hasil siasatan awal itu memandangkan tiada kesan pelanggaran di tempat kejadian kecuali brek kereta tidak jauh dari kereta itu ditemukan di dalam sungai.
“Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas setelah terperangkap dalam kereta jenis Proton Iswara itu. Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau turut mengesahkan, mayat tersebut ialah pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, manakala empat anak mereka Putra Rayyan, 9, Hawa Adriana, 8, Annayla Humaira, 8, dan Tuah Haydar, enam bulan.
“Kesemua mayat ditemukan di dalam kereta di dalam sungai di Jalan Sungai Kubang Sepat – Simpang Tiga Kemboja pada pukul 9 pagi. Polis menerima laporan kehilangan keenam-enam itu pada Sabtu yang dibuat ahli keluarga mangsa.
“Kali terakhir mangsa dilihat menaiki kereta itu bagaimanapun selepas mangsa tidak sampai di rumah mereka di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Sri Aman di Jitra,” katanya.

































