Hajiji disambut oleh masyarakat Rungus setibanya di Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025.
KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri komited melestarikan khazanah budaya etnik di Sabah yang kaya dengan warisan seni dan adat resam yang unik serta bernilai tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha memulihara budaya pelbagai etnik penting untuk memastikan identiti negeri terus dipertahankan dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya masing-masing.
“Budaya bukan sekadar khazanah sejarah, tetapi juga aset pembangunan yang perlu
dipertahankan,” katanya ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah, Jalan Teringai, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, budaya dan warisan etnik seperti masyarakat Rungus bukan sekadar nilai tradisi, malah merupakan aset penting perpaduan dan daya tarikan pelancongan. Ia juga menyemai semangat jati diri dan kebanggaan dalam kalangan generasi muda.


































