Peter Cklamovski
PETALING JAYA: Harimau Malaya dijangka mempertaruhkan skuad terbaik apabila menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara CAFA, bulan depan.
Menurut Utusan Malaysia, penyertaan sebagai pasukan jemputan itu menjadi medan ujian sebenar buat anak buah ketua jurulatih, Peter Cklamovski sebelum mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027.
Lebih mencuri tumpuan, beberapa pemain warisan seperti Facundo Garces, Joao Figueiredo dan Gabriel Palmero dikatakan bersedia menyarung jersi kebangsaan jika tiada halangan kelab.
Kehadiran mereka bakal mewarnai era baharu bola sepak negara yang mula menimba pengalaman berdepan kuasa besar Asia seperti Iran dan Uzbekistan.
“Inilah cabaran sebenar untuk berkembang, kita mesti bertemu pasukan lebih baik dari kita.
“Pendedahan di pentas tinggi adalah penting, kerana kita tidak boleh bergantung kepada aksi menentang pasukan Asia Tenggara sahaja,” kata Cklamovski.
Dengan Iran berada di ranking ke-18 dunia, CAFA menjadi medan terbaik menilai kekuatan sebenar Harimau Malaya secara kompetitif.
Malaysia dijangka menentang Laos dalam aksi kelayakan akan datang, namun segala fokus kini tertumpu kepada medan pertempuran di Asia Tengah.

































