Masiung (tiga dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut melancarkan jentera PRN17.
TONGOD: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersiap sedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah yakin parti itu mampu menyumbang kemenangan satu kerusi kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus meneruskan mandat rakyat yang mahu parti tempatan terus menerajui Kerajaan Negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat Kuamut yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan dan pemerhati di Dewan Entilibon, di sini, Sabtu.
Serentak dengan persidangan itu, Gagasan Rakyat Kuamut turut melancarkan jentera PRN17 melibatkan tiga sayap utama iaitu Pemuda, Wanita dan Beliawanis.
Ketika ditemui media selepas majlis, Masiung yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut menegaskan bahawa pelancaran awal jentera merupakan isyarat jelas kesiapsiagaan parti untuk menghadapi cabaran daripada parti lawan.
“Suara rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan terus menerajui Kerajaan Negeri harus dihormati. Gagasan Rakyat yang dipimpin oleh Ketua Menteri wajar menjadi tulang belakang kepada GRS,” katanya.
Menurut beliau, satu mesyuarat khas akan diadakan bersama kepimpinan GRS Kuamut bagi membincangkan gerak kerja jentera PRN17 secara bersama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu memaklumkan semua sayap parti telah mula digerakkan bagi memastikan komponen GRS dapat menyelaras pergerakan dan strategi kempen secara tersusun.


































