PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan maut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jalan Miri Off Taman Beringin, Jinjang di sini, semalam selepas dipercayai bercakap dengan teman wanita menerusi telefon.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.39 petang semalam.
Katanya, pihak polis menerima panggilan laporan kejadian orang terjatuh dari tingkat 11 di PPR Beringin, Jinjang, di sini.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa terjun dari hadapan rumahnya di tingkat 11 di PPR berkenaan yang didapati ada kerusi plastik di koridor rumahnya.
“Berdasarkan keterangan saksi di tingkat 11 dan 9, melihat mangsa yang berusia 25 tahun itu menjerit-jerit ketika bercakap menerusi telefon sebelum kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ibu mangsa mendakwa sebelum dia keluar dari rumah pada 5 petang ada melihat mangsa bercakap dengan teman wanitanya yang merupakan warga Vietnam.
“Teman wanita mangsa masih belum hadir untuk memberi keterangan.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) setakat ini,”katanya.




























