ISKANDAR PUTERI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang bertemakan “Jom Beli Lokal”, sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh kualiti serta memperluas pasaran produk tempatan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, KBBM bukan sahaja bertujuan memupuk semangat cintakan produk buatan Malaysia, malah menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi domestik khususnya dalam sektor perdagangan pengedaran.
“Melalui kempen ini, kita bukan hanya menggalakkan rakyat membeli barangan tempatan, tetapi turut membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memperluas jaringan pasaran serta meningkatkan daya saing,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran KBBM 2025 dan Program Jelajah Karnival KPDN Zon Selatan di Puteri Harbour, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, KBBM turut disokong oleh rakan strategik dalam industri peruncitan termasuk platform e-dagang, sekali gus memperkukuh agenda penembusan produk tempatan ke pasaran antarabangsa menerusi program ‘Local to Global Retail’.
Setakat Disember 2024, sektor perdagangan pengedaran negara merekodkan nilai jualan sebanyak RM1.766 trilion, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya — satu petunjuk kukuh kepada prestasi ekonomi yang mampan.
“Tiga platform e-dagang utama iaitu TikTok, Shopee dan Lazada berjaya menjana jualan melebihi RM347 juta menerusi pelaksanaan KBBM sebelum ini. Ini menunjukkan potensi besar dalam memperluas capaian produk tempatan ke pasaran digital,” katanya.
Dalam majlis sama, KPDN turut melancarkan Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 bagi Zon Selatan, yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di lokasi berkenaan.
Program tersebut merupakan kesinambungan kepada sambutan positif yang diterima tahun lalu dan akan diteruskan ke enam zon utama iaitu Selatan, Utara, Timur, Tengah serta Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.
“Selain mempromosikan KBBM, jelajah ini juga menjadi platform KPDN mendekati rakyat serta memperkenalkan pelbagai inisiatif kementerian seperti Menu Rahmah, jualan murah, pendaftaran SSM, dan pemantauan harga,” tambahnya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd. Yusof serta wakil-wakil agensi dan penggiat industri tempatan.
Karnival ini juga menampilkan reruai pameran, jualan produk tempatan, sesi libat urus pengguna dan pelbagai aktiviti interaktif bersama masyarakat setempat.




























