Dr. Jeffrey (tujuh kiri) bergambar bersama media.
KOTA KINABALU: Capaian liputan media semasa Sambutan Pesta Kaamatan 2025 yang diadakan pada 30 dan 31 Mei lepas, dianggarkan mencecah hampir 8 juta penerima maklumat.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata Jawatankuasa Induk Sambutan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 sangat menghargai komitmen dan peranan media dalam menyampaikan maklumat mengenai pesta ini bukan sahaja kepada rakyat Sabah dan Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
“Saya difahamkan media kita menyampaikan maklumat ini kepada hampir 8 juta manusia. Syabas dan tahniah kepada semua pengamal media.
“Dengan capaian sedemikian sekali gus membuktikan peranan penting media dalam menyebarkan mesej perpaduan dan kebudayaan Sabah ke seluruh dunia.
“Tanpa media, kami tidak dapat menyampaikan mesej pesta ini dengan sebaik mereka.
Sebab itu kita adakan majlis penghargaan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kaamatan: A Tribute To The Press, pada Rabu.
Majlis ini merupakan sebagai tanda penghargaan dan simbol pengiktirafan terhadap sumbangan media dalam memartabatkan budaya dan warisan etnik Sabah menerusi liputan meluas sepanjang sambutan Pesta Kaamatan 2025 berlangsung.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kaamatan 2025, Datuk Suman Yasambun.
































