Hajiji (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Awang Kadin (kiri) dan Mohd. Yaakob.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik kerjasama antara Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah dalam usaha memastikan bekalan elektrik sampai ke seluruh pelosok negeri.
“Usaha ini melengkapi inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapat akses kepada bekalan elektrik,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Menurut Ketua Menteri, kerjasama ini turut sejajar dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, PPM mempunyai peranan penting dan perlu melaksanakan tugas mereka dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Hajiji (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UPPM Sabah dan Sabah Electricity.
Menerusi MoU selama setahun ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama mempertingkatkan sambungan bekalan elektrik terutamanya ke kawasan yang masih belum diliputi, membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga secara cekap.
Kerjasama ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan melalui projek-projek yang bakal dilaksanakan.
Secara ringkas, kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah ini akan menjadi pusat rujukan utama bagi semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity.
Menandatangani MoU bagi pihak Sabah Electricity ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar, manakala Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, mewakili agensi itu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.
































