PETALING JAYA: Sistem kawalan berteknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengesan penyeludupan dadah melalui penghantaran kurier.
Menurut Utusan Malaysia, ini susulan siasatan mendapati sindiket dadah vape berisi cecair kokain yang ditumpaskan pada 19 Jun lalu dipercayai dalam perjalanan ke syarikat penerbangan kurier bagi menyeludup dadah terbabit untuk pasaran antarabangsa.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, pemeriksaan yang lebih ketat dan efisien perlu diperkukuh di semua peringkat termasuk lapangan terbang dan syarikat kurier bagi menangani percubaan seumpama itu.
“Pemeriksaan yang ketat dan lebih efisien dengan sistem kawalan keselamatan berasaskan teknologi AI perlu dilaksanakan agar percubaan menyeludup dadah dalam bentuk cecair seperti ini dapat dikesan lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu hanya mengambil risiko dengan menghantar dadah keluar dari Malaysia sebagai transit dan tidak bertujuan mencabar sistem keselamatan negara.
“Siasatan kami mendapati sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai negara transit untuk mengelak daripada dikesan. Namun mereka gagal kerana JSJN lebih cekap.
“Mereka ambil risiko dan cuba nasib. Sindiket ini mengambil kesempatan terhadap perkembangan industri vape dengan mencipta cecair yang lebih eksklusif.
“Ini adalah kali pertama mereka mencuba dan terus gagal,” katanya.
Mengenai keputusan analisis makmal terhadap kandungan cecair dalam katrij vape, Mat Zani berkata, keputusan itu masih belum diperoleh pihaknya namun beliu percaya ia mengandungi dadah berbahaya itu hasil soal siasat ke atas suspek.
Kelmarin, media melaporkan polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang dikesan menyewa unit kondominium untuk membungkus semula cecair mengandungi kokain ke dalam katrij vape. Ia melibatkan nilai rampasan mencecah nilai RM7.2 juta.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis menahan empat suspek membabitkan tiga warga Singapura dan seorang lelaki tempatan, dalam serbuan di lorong berhampiran sebuah hotel di Ampang Jaya, Selangor pada 19 Jun lalu.
































