Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan menyebabkannya terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Jalan Mutiara Emas Utama, Johor Bahru, Johor, pagi tadi.
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dia terjatuh dalam sebuah lubang kumbahan dalam kejadian di Jalan Mutiara Emas Utama, di sini pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 8.20 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 36 tahun terbabas ke sebelah kiri jalan dan terjatuh ke dalam lubang kumbahan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Perkara itu disahkan pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat di nombor 010-4171762 bagi membantu siasatan,” ujarnya.































