Kontinjen KKTP gembira dinobatkan sebagai Johan kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi dengan hadiah disampaikan Sabin (tengah) menewaskan 21 pencabar terdekat.
KOTA KINABALU: Kontinjen Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah muncul johan kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi dalam Pertandingan Berjalan Lalu sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-74.
Pasukan itu menewaskan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah sebagai naib johan dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar di tempat ketiga.
Antara johan kategori lain termasuk Jabatan Perhutanan Sabah bagi Jabatan Berpakaian Seragam Rasmi, Sabah Electricity bagi kategori Swasta/Komersial dan Persatuan Etnik Bajau Tabawan Sabah (PERBATAS) dalam kategori Pertubuhan Etnik Sabah.
Pemenang johan, naib johan dan tempat ketiga bagi semua kategori masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, RM1,300 dan RM1,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan.
Pertandingan perbarisan itu menyaksikan penyertaan daripada pelbagai jabatan kerajaan, pertubuhan etnik, agensi swasta dan badan beruniform dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah di Astaka Padang Merdeka, Kota Kinabalu dekat sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong serta Timbalan Pengarah DBKK Faradillah Abdul Rani merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja istiadat berkenaan.
































